Thursday 7 November 2013

Bagaimanakah Yang Dikatakan Perempuan Solehah?

Seorang gadis kecil berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, aku ingin sekali menjadi perempuan solehah. Bagaimanakah perihal perempuan solehah itu?”

Si ayah pun menjawab: “Wahai anakku, seorang perempuan solehah itu bukan dilihat daripada kecantikan dan keayuan wajahnya semata-mata. Wajahnya hanya memainkan satu peranan yang teramat kecil. Akan tetapi, perempuan solehah dilihat daripada kecantikan dan ketulusan hatinya yang tersembunyi di dalam dada. Itulah perempuan yang terbaik.”

Sambung si ayah lagi: “Anakku, seorang perempuan solehah bukan dilihat daripada bentuk tubuh badannya yang mempesona, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia menutup bentuk tubuhnya yang mempesona itu. Perempuan solehah bukanlah dilihat daripada sebanyak mana kebaikan yang diberikannya, tetapi daripada keikhlasan hatinya ketika ia memberikan segala kebaikan itu. Perempuan solehah bukan dilihat daripada seberapa indah lantunan suaranya, tetapi dilihat daripada apa yang sering mulutnya bicara. Perempuan solehah bukan dilihat daripada keahliannya berbahasa, tetapi daripada bagaimana ia bicara dan hujah kebenaran di sebaliknya.”

“Lalu apa lagi ayah?” Sahut puteri kecil itu, dengan perasaan ingin tahu yang tidak berbelah bagi.

“Ketahuilah puteriku, perempuan solehah itu bukan dilihat daripada keberaniannya memakai pakaian yang grand, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia berani mempertahankan kehormatannya melalui apa yang dipakainya. Perempuan solehah bukan dilihat daripada kekhuatirannya digoda orang di tepi jalanan, tetapi dilihat daripada kekhuatirannya bahawa dirinyalah yang mengundang orang tergoda. Perempuan solehah bukan dilihat daripada seberapa banyak dan besarnya ujian yang ia hadapi, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia menghadapi ujian itu dengan penuh rasa redha dan kehambaan kepada TuhanNya, dan ia sentiasa bersyukur dengan segala kurniaan yang diberikan.”

Si puteri kecil mengangguk-angguk tanda faham.

“Dan ingatlah wahai puteriku,” sambung si ayah lagi. “Perempuan solehah bukan dilihat daripada sifat mesranya dalam bergaul, tetapi dilihat daripada sejauh mana ia mampu menjaga kehormatan dirinya dalam bergaul.”

Si anak terus bertanya, “Wahai ayahku, siapakah yang memiliki sifat-sifat tersebut? Bolehkah saya menjadi sepertinya? Mampukah dan layakkah saya untuk berada di syurga nanti?”

Si ayah mengangguk-angguk sambil menggosok-gosok kepala puterinya. “Ya, anakku. Sesiapa sahaja boleh memilikinya. Nabi Muhammad SAW, rasul junjungan telah bersabda bahawa apabila seorang perempuan itu menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga dari pintu-pintu yang ia kehendakinya (riwayat Al-Bazzar).”




No comments:

Post a Comment