Friday 22 November 2013

Perhiasan Yang Menyejukkan Hati

     Seorang manusia bergelar Nabi, manusia lelaki pertama dicipta ALLAH S.W.T  menghuni syurga. Dia dimuliakan oleh semua makhluk termasuk malaikat atas perintah ALLAH S.W.T. Dia bebas menyelusuri setiap ceruk, menikmati keindahan yang tidak terperi. Namun di tengah keindahan syurga, jauh disudut hatinya masih ada satu kekosongan. Mengapa? kerana tiada wanita menemaninya dalam menikmati keindahan syurga.

     Maka diciptakanya wanita sebagai pelengkap kepada nikmat syurgawi. Syurga yang keindahanya tidak pernah dilihat oleh mata, tidak terdengar oleh telinga, tidak terungkap dengan kata masih terasa kurang lengkap tanpa wanita, Kalau begitu boleh meriahkah dunia ini tanpa wanita? Setiap akal dan hati tahu jawapannya. Ya, tanpa wanita sunyi sepilah dunia. Tidak banggakah anda menjadi wanita? Persoalanya, cukupkah sekadar dilahirkan sebagai wanita, boleh berbanggakah engkau wahai wanita menyandang keistimewaan ini?

     Apabila hati diserahkan kepada ALLAH S.W.T, Kekallah wanita dengan asal penciptaanya iaitu penyejuk mata, penenang dihati. Apabila wanita terus mengikat hati kepada zat yang menjadikanya, maka kekallah ia sebagai perhiasan yang rapi. Inilah wanita sejati bergelar wanita solehah seperti yang digambarkan oleh Rasulullah S.A.W didalam hadisnya :


“Dunia ini adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.” 
(HR. Muslim,Nasa’i, Ibnu Majah dan Ahmad) 

     Di dunia bidadari mencemburui kesolehannya dan di akhirat bidadari sudi menjadi khadamnya. Sebaliknya jika hati dibawa jauh dari ALLAH S.W.T maka hilanglah kejernihan wajah dan jadilah dia duri yang menjadi punca kemelut serta kacau bilau. Apabila wanita lari dari ikatan Tuhan maka terbukalah segala pintu yang akan menjerumuskanya ke lembah fitnah dan kehinaan.

     Ibarat bunga sejati dan plastik. Jika bunga plastik disembur pewangi, harumnya lebih kuat daripada harumanya bunga sejati, tetapi harumanya itu tidak berkekalan. Haruman bunga plastik bukan miliknya yang sebenar, ia haruman palsu yang bersifat luaran, berbeza dengan haruman bunga sejati yang bersifat dalaman dan kekal.

     Wanita solehah yang hatinya terikat dengan ALLAH S.W.T, si gadis yang dihiasi sifat sopan dan malu, si anak yang mentaati ibubapa, srikandi yang dihiasi keberanian dan ketegasan yang penuh kesopanan serta prihatin terhadap susana masyarakat, si isteri yang penuh ketaatan, kesetiaan dan kasih terhadap suami. Semuanya berteraskan rasa cinta kepada Yang Maha Pencipta. Berbahagialah kaum Adam yang berjaya memiliki "Perhiasan" sejati ini kerana pastinya hidup akan terarah ke syurga. Syurga dunia yang disegerakan dan syurga hakiki yang kekal abadi.

Intisari daripada buku : Semai Benih-Benih Syurga, 
Karangan : Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat



No comments:

Post a Comment